Isnin, Jun 06, 2011
PESANAN BUAT PENGANTIN BARU DAN LAMA
RASULULLAH saw bersabda, yang bermaksud: "Seorang isteri yang bermuka muram di hadapan suaminya, maka ia dalam kemurkaan Allah hingga ia dapat membuat suasana yang riang gembira kepada suaminya dan memohon kerelaannya. "
Begitulah besarnya harga senyuman seorang isteri kepada suaminya kerana senyuman akan mencetuskan suasana kegembiraan yang sebenarnya dikehendaki suami ketika pulang dalam keletihan. Muka yang masam bukan saja akan menimbulkan kemarahan suami, malahan menyebabkan Allah turut murka dan kemurkaan Allah itu berkekalan hingga isteri berjaya mengembalikan suasana gembira serta memohon keampunan daripada suami.
Sesungguhnya keredhaan Allah terletak pada keredhaan suami. Justeru, apabila suami pulang segeralah bukakan pintu, persilakan masuk dengan penuh hormat dan ciumlah tangan suami sebagai tanda hormat serta meminta maaf, walaupun isteri merasakan tidak berbuat sebarang kesalahan pada hari itu..
Sebuah hadis ada menyebut bahawa apabila seorang suami bersalaman dengan isterinya, maka gugurlah segala dosa dari celah-celah jari mereka berdua. Andai mempunyai anak-anak, ajarlah mereka itu untuk selalu bersalaman dengan ayahnya kerana kelaziman akan memupuk rasa kasih dan hormat anak-anak kepada orang tua.
Kebahagiaan rumahtangga terletak pada akhlak dan budi pekerti isteri. Biarpun seorang isteri itu tidak cantik tapi jika cukup sempurna layanannya terhadap suami dan berakhlak pula, tentu ia akan menjadi penghibur dalam rumahtangga. Oleh itu wahai isteri, hendaklah berlumba-lumba untuk menjadi seorang isteri yang solehah, yang bertakwa, berakhlak mulia dan taat kepada suami.
Rasulullah bersabda, yang bermaksud: "Sungguh-sungguh memintakan ampun untuk seorang isteri yang berbakti kepada suaminya, iaitu burung-burung di udara, ikan-ikan di air dan malaikat di langit selama dia sentiasa dalam kerelaan suaminya." Jika seorang isteri mengharap cintanya berbalas, maka banyakkan mencari keredhaan Allah melalui keredhaan suami.
Tiada yang indah...!!!
Tiada yang indah bagi ibu bapa selain mendapat anak yang soleh dan solehah dan yang mendoakan kebahagiaannya, Jadilah anak yang soleh dan solehah.
Tiada yang indah bagi guru selain melihat kejayaan anak muridnya dan ilmu yang diajar dimanfaatkan oleh anak muridnya, Usahalah sehingga berjaya.
Tiada yang indah bagi pejuang selain meraih kemenangan dan gugur syahid, Jadilah syuhada' fisabilillah
Tiada yang indah bagi kekasih selain kasihnya tidak dikhianati dan kesetiaan dari pasangannya, Hindari diri dari mengkhianati. Tiada yang indah bagi suami / isteri selain mendapat suami / isteri yang soleh dan solehah serta hidup bahagia, Wujudkanlah keluarga bahagia
Tiada yang indah bagi kawan selain mempunyai kawan yang bersama saat susah dan senang dalam merempuh ranjau perjuangan, Jadilah kawan yang baik. Tiada yang indah bagi pelajar selain memperolehi kejayaan dan mendapat ilmu yang berkat, Carilah ilmu yang berkat
Tiada apa yang indah, Ingatlah...;
Andai tercapai apa yang diingini bersyukurlah pada Illahi kerana semua nikmat daripadaNya. Kita tiada kuasa untuk mengadakannya cuma kita perlu berusaha hingga berjaya. Dan andai tidak berjaya janganlah berputus asa. Usaha semula selagi daya dan jangan menyalahkanNya. Cuma kita lihat diri kita mungkin ada yang tak kena. Yang pasti tuntutan Yang Esa itu yang utama.
Ahad, Jun 05, 2011
NILAI SEBUAH CINTA
Suami saya adalah seorang jurutera. Saya mencintai sifatnya yang semulajadi dan saya menyukai perasaan hangat yang muncul di hati saya ketika bersandar di bahunya. 3 tahun dalam masa perkenalan dan 2 tahun dalam masa pernikahan, saya harus akui, bahawa saya mulai merasa letih...lelah, alasan-alasan saya mencintainya dulu telah berubah menjadi sesuatu yang menjemukan. Saya seorang wanita yang sentimental dan benar-benar sensitif serta berperasaan halus. Saya merindui saat-saat romantis seperti seorang anak kecil yang sentiasa mengharapkan belaian ayah dan ibunya.Moral:
Tetapi, semua itu tidak pernah saya perolehi. Suami saya jauh berbeza dari yang saya harapkan. Rasa sensitifnya kurang. Dan ketidakmampuannya dalam menciptakan suasana yang romantis dalam perkahwinan kami telah mematahkan semua harapan saya terhadap cinta yang ideal.
Suatu hari, saya beranikan diri untuk mengatakan keputusan saya kepadanya, bahawa saya inginkan perceraian.
"Mengapa?" dia bertanya dengan nada terkejut.
"Siti letih. Abang tidak pernah cuba memberikan cinta yang saya inginkan." Dia diam dan termenung sepanjang malam di depan komputernya, nampak seolah-olah sedang mengerjakan sesuatu, padahal tidak.
Kekecewaan saya semakin bertambah, seorang lelaki yang tidak dapat mengekspresikan perasaannya, apalagi yang boleh saya harapkan daripadanya? Dan akhirnya dia bertanya, "Apa yang Abang boleh lakukan untuk mengubah fikiran Siti?" Saya merenung matanya dalam-dalam dan menjawab dengan perlahan.
"Siti ada satu soalan. Kalau Abang temui jawapannya di dalam hati Siti, Siti akan mengubah fikiran Siti. Seandainya, Siti menyukai sekuntum bunga cantik yang ada di tebing gunung dan kita berdua tahu jika Abang memanjat gunung-gunung itu, Abang akan mati. Apakah yang Abang akan lakukan untuk Siti?"
Dia termenung dan akhirnya berkata, "Abang akan memberikan jawapannya esok." Hati saya terus gundah mendengar responnya itu.
Keesokan paginya, dia tidak ada di rumah, dan saya menemui selembar kertas dengan coretan tangannya di bawah sebiji gelas yang berisi susu hangat yang bertuliskan...
"Sayangku, Abang tidak akan mengambil bunga itu untukmu, tetapi izinkan Abang untuk menjelaskan alasannya." Kalimah pertama itu menghancurkan hati saya. Namun, saya masih terus ingin membacanya.
"Siti boleh mengetik di komputer dan selalu mengusik program di dalamnya dan akhirnya menangis di depan monitor. Abang harus memberikan jari-jari Abang supaya boleh membantu Siti untuk memperbaiki program tersebut."
"Siti selalu lupa membawa kunci rumah ketika Siti keluar, dan Abang harus memberikan kaki Abang supaya boleh menendang pintu, dan membuka pintu untuk Siti ketika pulang."
"Siti suka jalan-jalan di shopping complexs tetapi selalu tersasar dan ada ketikanya sesat di tempat-tempat baru yang Siti kunjungi. Abang harus mencari Siti dari satu lot kedai ke satu lot kedai yang lain mencarimu dan membawa Siti pulang ke rumah."
"Siti selalu sengal-sengal badan sewaktu 'teman baik' Siti datang setiap bulan, dan Abang harus memberikan tangan Abang untuk memicit dan mengurut kaki Siti yang sengal itu."
"Siti lebih suka duduk di rumah, dan Abang selalu risau Siti akan menjadi 'pelik'. Dan Abang harus membelikan sesuatu yang dapat menghiburkan Siti di rumah atau meminjamkan lidah Abang untuk menceritakan hal-hal kelakar yang Abang alami."
"Siti selalu menatap komputer, membaca buku dan itu tidak baik untuk kesihatan mata Siti, Abang harus menjaga mata Abang agar ketika kita tua nanti, Abang dapat menolong mengguntingkan kukumu dan memandikanmu."
"Tangan Abang akan memegang tangan Siti, membimbing menyusuri pantai, menikmati matahari pagi dan pasir yang indah. Menceritakan warna-warna bunga yang bersinar dan indah seperti cantiknya wajahmu."
"Tetapi sayangku, Abang tidak akan mengambil bunga itu untuk mati. Kerana, Abang tidak sanggup melihat airmatamu mengalir menangisi kematian Abang."
"Sayangku, Abang tahu, ada ramai orang yang boleh mencintaimu lebih daripada Abang mencintai Siti."
"Untuk itu sayang, jika semua yang telah diberikan oleh tangan, kaki, mata Abang tidak cukup bagi Siti. Abang tidak akan menahan diri Siti mencari tangan, kaki dan mata lain yang dapat membahagiakan Siti."
Airmata saya jatuh ke atas tulisannya dan membuatkan tintanya menjadi kabur, tetapi saya tetap berusaha untuk terus membacanya lagi.
"Dan sekarang, Siti telah selesai membaca jawapan Abang.
Jika Siti puashati dengan semua jawapan ini, dan tetap inginkan Abang tinggal di rumah ini, tolong bukakan pintu rumah kita, Abang sekarang sedang berdiri di luar sana menunggu jawapan Siti."
"Tetapi, jika Siti tidak puas hati, sayangku biarkan Abang masuk untuk mengemaskan barang-barang Abang, dan Abang tidak akan menyulitkan hidupmu. Percayalah, bahagia Abang bila Siti bahagia."
Saya terpegun. Segera mata memandang pintu yang terkatup rapat. Lalu saya segera berlari membukakan pintu dan melihatnya berdiri di depan pintu dengan wajah gusar sambil tangannya memegang susu dan roti kesukaan saya.
Oh! Kini saya tahu, tidak ada orang yang pernah mencintai saya lebih dari dia mencintai saya. Itulah cinta, di saat kita merasa cinta itu telah beransur-ansur hilang dari hati kita kerana kita merasa dia tidak dapat memberikan cinta dalam 'kewujudan' yang kita inginkan, maka cinta itu telah hadir dalam 'kewujudan' yang tidak pernah kita bayangkan sebelum ini.
Terimalah seseorang itu seadanya... jangan terlalu mengharap yang luar biasa darinya kelak kita jua yang akan kecewa....
Langgan:
Catatan (Atom)