Islam adalah agama yang sentiasa menganjurkan kehidupan tenang, aman, damai dan bersatu padu dalam masyarakat Muslimin, khasnya dan keseluruhan manusia amnya. Islam tidak pernah membeza-bezakan darjat di antara manusia. Islam memandang manusia adalah sama taraf baik mereka yang dilahirkan dalam keluarga bangsawan, hartawan, mahu pun fakir miskin.
Sesungguhnya demi mencapai maksud kehidupan yang aman damai dalam masyarakat, Islam menggariskan panduan kemasyarakatan lengkap yang wajib dipatuhi oleh semua umat Muslimin.
Antara perkara yang diharamkan oleh Islam ialah ‘ghibah’. Ghibah bermaksud mengata (mengumpat) individu atau kumpulan tertentu tanpa pengetahuan mereka. Apa yang diperkatakan itu selalunya perkara buruk yang tidak disenangi simangsa. Firman Allah bermaksud : “Wahai orang beriman jauhilah daripada banyak prasangka, sesungguhnya sebahagian daripada prasangka itu adalah dosa dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain dan janganlah sebahagian kamu mengumpat sebahagian yang lain. Sukakah salah seorang daripada kamu memakan daging saudaranya yang sudah mati? Maka tentulah kamu jijik kepadanya. Dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Penerima taubat lagi Maha Mengasihani.” (Al-Hujuraat : 12)
Begitulah beratnya dosa seseorang yang melakukan ghibah baik secara sengaja atau tidak. Mereka yang mengumpat atau memperkatakan sesuatu perkara tidak benar atau tidak disukai oleh saudara mereka digambarkan sebagai orang yang memakan daging mayat saudara mereka. Satu perbuatan yang jijik dan mengejikan, yang tidak mungkin dilakukan oleh seseorang yang waras. Sewaktu menghuraikan ayat di atas, Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Rasulullah saw pernah bersabda : “Adakah kamu semua mengetahui apakah ghibah? Sahabat menjawab, Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui. Rasulullah saw lalu menyambung sabdanya, kamu berkata mengenai saudara kamu perkara yang tidak disenanginya. Saya pun bertanya, walaupun saya berkata perkara yang benar-benar berlaku pada dirinya? Rasulullah saw menjawab, jika kamu berkata mengenai perkara yang benar-benar berlaku pada dirinya bererti kamu mengumpatnya.” (Al-Nawawi: Riyadhus Sholihin)
Ghibah tidak bermaksud sekadar umpatan dengan menggunakan kata. Ghibah boleh juga digambarkan dengan gerak badan seperti menggerakkan jari telunjuk ke kepala, melirik mata, mencebik bibir mulut, mengangkat alis mata dan sebagainya.
Apa saja perbuatan yang boleh menzahirkan maksud merendah-rendahkan atau mengejek seseorang yang berada di depan si pelaku atau tidak, adalah tergolong sebagai perbuatan ghibah. Saidatina Aisyah meriwayatkan : “Saya pernah berkata sesuatu kepada Rasulullah saw. Cukuplah dengan Safiah tu, dia tu...(sambil mengisyaratkan sesuatu dengan tangannya). Rasulullah saw berkata, wahai Aisyah sesungguhnya kamu telah berkata sesuatu yang jika dilarutkan ke dalam air laut maka akan tercampurlah semua air dengannya.”
Maksud Baginda saw, sepatah kata umpatan (dengan isyarat) daripada Aisyah itu jika diibaratkan seketul pewarna, apabila ia dicampurkan ke dalam air laut maka ia akan merubah warna keseluruhan air laut itu. Begitulah dahysatnya perbuatan mengumpat, ia akan segera merebak dari sekecil-kecil perkara akan menjadi sebesar-besar perkara.
Mengikut ahli hadis, perkataan yang dimaksudkan oleh Aisyah tidak lebih sekadar menggelar Safiah (isteri Nabi yang berbangsa Yahudi) sebagai pendek atau rendah. Sekecil perkataan itu pun Islam tetap menegahnya, apa lagi jika sesuatu yang lebih besar.
Khalid ar-Rabi’e seorang ulama menceritakan, pada suatu ketika dia masuk ke sebuah masjid dan terdengar sekumpulan orang sedang mengumpat seorang lelaki (yang tidak berada di masjid berkenaan pada ketika itu). Khalid menegah mereka dan mereka akur lalu membuka cerita mengenai perkara lain. Namun percakapan mereka beralih kembali kepada hal lelaki itu tidak berapa lama kemudian. Beberapa perkara mengenai lelaki berkenaan terdengar juga ke telinga Khalid walaupun dia tidak mengia atau menyokongnya.
Pada malam itu, Khalid bermimpi didatangi oleh seorang lelaki yang terlalu tinggi dan berkulit hitam membawa sepinggan daging khinzir. Lelaki itu menunjukkan daging khinzir yang dibawanya ke mulut Khalid. Khalid menolak dengan alasan daging khinzir diharamkan ke atas orang Islam dan dia tidak akan memakan daging khinzir sama sekali. Namun lelaki itu dengan kasar memaksanya memakan daging itu hinggakan sebahagian daripada daging yang ditunjukkan oleh lelaki itu terkena bibir Khalid. Dia memarahi Khalid, katanya, sesungguhnya sebelum ini kamu memakan daging yang lebih buruk dan lebih kotor daripada daging khinzir. Apabila terjaga Khalid menyedari kesilapannya kerana terbabit dengan kumpulan pengumpat di masjid itu walaupun sekadar mendengar. Akibat mimpi itu, Khalid tidak dapat makan 40 hari kerana terbayang daging khinzir yang terkena bibirnya. (Al-Afifi: Min Wasaya al-Rasul)
Cerita Khalid tadi amat bertepatan dengan pengharaman ghibah tidak terkhusus kepada pengumpat, malah termasuk pendengar. Oleh itu seseorang Muslim yang baik hendaklah meneliti setiap perkataan saudaranya dan jangan terlalu mudah serta cepat mempercayai serta menyokong kata-katanya tanpa terlebih dulu memeriksa kesahihan fakta.
Apa lagi jika diketahui dia pernah berbohong, berolok-olok dan sebagainya pada masa lalu. Allah berfirman bermaksud : “Wahai orang beriman, jika datang kepadamu seseorang fasiq (pernah melakukan dosa) membawa sesuatu berita, maka periksalah dengan teliti, supaya kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada sesuatu kaum tanpa mengetahui keadaannya (yang sebenar) yang menyebabkan kamu menyesal di atas perbuatan kamu itu.” (Al-Hujuraat : 6)
Seboleh-bolehnya tegahlah dan berilah teguran kepada mereka secara berhikmah jika kita mengetahui hal sebenar.
Seseorang Muslim yang tidak mendiamkan diri ketika berhadapan dengan kepalsuan akan mendapat ganjaran besar daripada Allah. Sabda Nabi saw yang bermaksud : “Sesiapa yang menolak (menasihati atau memperbetulkan) umpatan saudaranya, akan dihalang mukanya daripada api neraka pada hari kiamat.”
Abu al-Dardaa pula meriwayatkan bahawa Baginda saw pernah bersabda : “Sesiapa yang menolak umpatan saudaranya Allah akan menghalang mukanya daripada api neraka.” (Sunan Abi Daud).
Jika dikaitkan dengan keadaan semasa, kita melihat masyarakat terlalu mudah menjatuhkan atau merendah-rendahkan pihak lain dengan tuduhan tidak benar demi mencapai sesuatu maksud dalam tempoh singkat.
Mungkin bertujuan politik, perniagaan dan sebagainya. Seandainya keadaan ini dibiarkan merebak, masyarakat Muslim akan terus hidup terumbang-ambing lantaran tidak ada satu pun kebenaran yang boleh menjadi pegangan.
Tampuk kepemimpinan umat Islam juga akan berada di tangan orang yang berjaya memperolehi sokongan melalui tipu helah. Pada ketika itu tunggulah balasan kehancuran daripada Allah.
Mungkin ada yang mempersoalkan, jika memperkatakan seseorang walaupun mengenai perkara benar dianggap ghibah, tertutuplah peluang untuk memperolehi keadilan kerana umat Islam tidak dibenarkan membongkar perbuatan jahat yang dilakukan oleh seseorang?
Hakikatnya Islam adalah agama dinamik, hukumnya bukanlah undang-undang statik dan tidak akan berubah walau dalam apa keadaan sekalipun. Jelas dalam hal ini, Allah menegaskan melalui firman-Nya yang bermaksud :“Allah tidak menyukai ucapan buruk (yang dicakapkan) dengan terus terang kecuali oleh orang yang dianiaya. Allah adalah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” (Al-Nisa : 148)
Ini bererti pembongkaran perbuatan jahat di mahkamah atau ketika menghadapi proses pengadilan tidak dikira sebagai perbuatan ghibah. Bahkan ia adalah satu kewajipan ke atas umat Islam. Umat Islam mestilah berani membongkar perbuatan menyalahi nilai murni kehidupan supaya dapat dihapuskan serentak menjamin keamanan sejagat.
Dosa ghibah walaupun tidak sehebat dosa fitnah, sebagaimana diketahui Islam meletakkan dosa fitnah sebagai lebih besar daripada membunuh. (Al-Baqarah : 191)
Namun ghibah juga boleh membawa kepada fitnah. Secara logik cerita yang kurang enak didengar yang berasaskan sangkaan atau gambaran peribadi si A (pemula) akan berkembang menjadi lebih besar dengan pembawaan dan tokok tambah si B, si C dan seterusnya. Perkara asalnya kecil boleh merebak menjadi isu besar. Bukankah pada saat itu ia bertukar menjadi fitnah?
Oleh itu sama-samalah kita elakkan perbuatan ghibah seperti mengumpat, mencaci maki, mengejek dan sebagainya. Sesungguhnya semua umat Islam bersaudara, bererti sesiapa saja yang menjadi sasaran umpatan, kejian atau ejekan kita adalah saudara kita. Tidak wajar bagi seseorang yang waras bertindak demikian ke atas saudaranya sendiri.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan