Selasa, Oktober 26, 2010

Bunuh Diri Satu Hal, Siapa Mahu Guna Motosikal-motosikal Itu Lagi?


GEORGETOWN: Akibat tekanan hidup, seorang ibu tunggal yang mempunyai dua anak ditemui mati selepas dipercayai terjun dari tingkat 12 Pangsapuri Taman Serena, Sungai Pinang di sini, kira-kira 12 tengah malam kelmarin.


Dalam kejadian itu, mangsa, Goh Choo Hwa, 36, yang menghadapi masalah mental ditemui di kawasan meletak motosikal di bawah pangsapuri berkenaan dalam keadaan berlumuran darah. Dia dikatakan terjatuh di atas motosikal diletakkan di situ.

Mangsa dipercayai terjun dari tingkat 12 pangsapuri itu selepas keluar rumah untuk membuang sampah. Sebelum itu, mangsa sempat menemui ibunya yang tinggal di tingkat empat pangsapuri sama.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng, berkata mangsa tinggal di tingkat 15 bersama dua anaknya berusia 12 dan 18 tahun selepas bercerai sejak 10 tahun lalu.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati mangsa dilaporkan mengalami masalah mental dan menerima rawatan psikiatri dua tahun lalu.

Katanya, punca kejadian masih dalam siasatan dan mayat mangsa sudah dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk dibedah siasat.

“Laporan bedah siasat mendapati kematian mangsa disebabkan cedera pada anggota badan akibat terjatuh dari tempat tinggi.

“Kes ini diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR) dan kami minta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat menghubungi Ibu Pejabat Polis Timur Laut (IPDTL) di talian 04-2181822 bagi membantu siasatan,” katanya.

Sementara itu, dalam kejadian berasingan, polis masih lagi mencari seorang wanita berusia 49 tahun yang dikhuatiri lemas selepas dipercayai terjun dari Jambatan Pulau Pinang di sini, malam kelmarin.

Gan berkata, dalam kejadian kira-kira jam 8.30 malam itu mangsa yang berasal dari Taman Selasih, Kulim, Kedah sempat meninggalkan nota yang tertera nombor telefon anak lelakinya dan kad pengenalannya sebelum dipercayai terjun dari jambatan itu.

Menurutnya, mangsa dipercayai menunggang motosikal dari rumah selepas bertengkar dengan suaminya sebelum meninggalkan motosikalnya di Kilometer 7.5 di atas jambatan.

Katanya, pasukan Pasukan Gerakan Marin Wilayah Satu dan Agensi Penguat kuasa Maritim Malaysia (APMM) giat melakukan rondaan untuk mencari mangsa dan sehingga jam 6 petang semalam mangsa masih gagal ditemui.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan