[HM]  AMPANG: Enam belas wanita layak digelar samseng apabila sanggup   memukul seorang wanita berusia 26 tahun dengan  kayu hingga mangsa   cedera  dalam kejadian di Jalan Pandan Indah, di sini, kelmarin 
Kejadian kira-kira jam 2 pagi itu  berlaku di tangga ketika mangsa  naik ke rumahnya sebelum didatangi 16  wanita yang tiba-tiba memukulnya  tanpa sebarang sebab.
Akibat serangan itu, mangsa cedera di  badan dan bengkak di lengan  selepas terkena pukulan kayu serta menerima  rawatan pesakit luar di  klinik berdekatan.
Sumber polis berkata, mangsa yang  baru pulang dari bekerja  tiba-tiba didatangi suspek dan tanpa  berbicara, mereka bertalu-talu  memukulnya walaupun mangsa cuba  mempertahankan diri dan bertanya  kesalahannya.
“Tanpa menghiraukan pertanyaan mangsa, mereka  tetap berkeras dan  memukul mangsa hingga mencederakannya dan akan  memukul lebih teruk  sekiranya melawan.
“Mangsa yang pelik  dengan kejadian itu cuba mempertahankan diri namun  terus dipukul tanpa  belas kasihan,” katanya di sini, semalam.
Sumber itu berkata, tidak tahan  dengan pukulan itu, mangsa menjerit  minta tolong dan beberapa penduduk  datang membantu sebelum kesemua  wanita itu lari menaiki motosikal.
“Mangsa membuat laporan di Balai Polis Pandan Indah sejurus kejadian,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Ampang Jaya, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin mengesahkan menerima laporan kejadian itu.
 
Tiada ulasan:
Catat Ulasan