Sabtu, Oktober 23, 2010

"Alahai Soi Lek" - Awang Selamat

[UM] Awang kurang senang dengan reaksi Presiden MCA, Chua Soi Lek ke atas ucapan Presiden UMNO, Mohd. Najib Tun Razak pada perasmian Perhimpunan Agung UMNO, Khamis lalu.

Menurut Soi Lek, sebarang isu berkaitan kontrak sosial sepatutnya dibincangkan secara tertutup dan bukannya terbuka kerana ia melibatkan sensitiviti kaum lain. Malah beliau berkata, MCA memperakukan kontrak sosial sudah termaktub dalam Perlembagaan tetapi pelaksanaannya boleh dipinda dan diberi definisi baru.

Beliau sebenarnya merujuk kepada ucapan Najib bahawa kedudukan Melayu terkunci kemas dalam Perlembagaan dan tidak boleh dipinda melainkan dengan perkenan Raja-Raja Melayu.

Awang hairan mengapa Soi Lek boleh berfikir begitu. Najib memperkatakan hal tersebut dalam Perhimpunan Agung UMNO dan bukannya dalam forum terbuka. Adalah menjadi tuntutan bagi Najib menjelaskan perkara tersebut yang menimbulkan polemik dan keresahan orang Melayu.

Apakah pemimpin UMNO tidak boleh bercakap hal seperti itu dalam pentas UMNO dan apakah hanya pemimpin MCA sahaja boleh berbuat demikian?

Pada Kongres Ekonomi Cina yang dianjurkan oleh MCA Ogos lalu, Soi Lek menggesa kerajaan agar memansuhkan dasar pemilikan 30 peratus ekuiti bumiputera. Isu yang sama beliau bangkitkan pada Perhimpunan Agung MCA, baru-baru ini. Ada beberapa lagi kenyataan beliau yang membelakangkan muafakat BN.

Awang tidak mahu mengeluarkan komen keras kepada beliau kerana mungkin tidak disenangi oleh pemimpin UMNO sendiri memandangkan BN akan menghadapi pilihan raya kecil serentak iaitu di Galas dan Batu Sapi. Begitu juga Konvensyen BN yang akan menyusul tidak lama lagi.

Tetapi mesej mesti disampaikan. Janganlah meminta pihak lain menjaga sensitiviti kaum sedangkan beliau terus celupar. Pendiriannya bahawa pelaksanaan Perlembagaan boleh dipinda dan diberi definisi baru, juga tidak wajar. Sepatutnya Soi Lek menghentikan sama sekali perdebatan mengenai perkara tersebut sebagaimana gesaan Najib. Jika beliau bersikap seperti DAP untuk menarik sokongan Cina, ia tidak akan membantu BN. Orang Melayu juga akan menolak MCA akhirnya, selain membuat banyak tuntutan.

Seperti Soi Lek, Awang juga mahu beberapa perkara dipinda agar semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum benar-benar berkiblat kepada negara ini. Bukankah semuanya sudah menjadi warga negara? Di mana bumi di pijak, di situ langit dijunjung. Apa maksudnya, Awang percaya, Soi Lek faham

Tiada ulasan:

Catat Ulasan