APA KESUDAHAN NASIB GURU SANDARAN TIDAK TERLATIH?
 Utusan Malaysia 31 Mei 2011 
  
SAYA  merupakan bekas Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) yang telah  mencurahkan khidmat bakti sama seperti guru terlatih. Kami tidak  terkecuali dalam melaksanakan tugas sama ada daripada segi kurikulum dan  kokurikulum. Malah kami juga dicerap atau dipantau oleh pihak pentadbir mahu pun pegawai pelajaran peringkat negeri.  GSTT  juga tidak dibezakan oleh pihak pentadbir. Maksudnya apabila saya  menerima tawaran sebagai GSTT, bermakna tanggungjawab dan amanah yang  dipikul adalah besar dan tiada bezanya seperti guru tetap.  
Pendek kata, segala program yang diatur oleh pihak sekolah, GSTT juga bertanggungjawab dalam melaksanakan program berkenaan. Pengumuman  yang dibuat oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran  pada 8 Mac lalu, seolah-olah memberi nafas kepada GSTT sehinggakan  keesokan harinya terpampang di dada akhbar dan di kaca televisyen  mengenai berita gembira untuk para GSTT. Namun sehingga kini masih belum diketahui status sebenar kenyataan beliau. 
Rata-rata  masyarakat setempat umumnya mengandaikan bahawa kami bekas GSTT  seolah-olah akan mendapat tawaran mengajar kembali setelah mendengar  pengumuman yang dibuat oleh Menteri Pelajaran. Hakikatnya, hingga kini status pengumuman berkenaan masih lagi menjadi tanda tanya kepada bekas GSTT. 
Oleh yang demikian, saya mengharapkan agar persoalan tersebut dapat dirungkaikan. 
  
Saya  juga amat mengharapkan agar Timbalan Perdana Menteri selaku Menteri  Pelajaran memberi peluang kepada bekas GSTT untuk menyambung kembali  perkhidmatan kerana rata-rata GSTT telah berkhidmat lebih dari setahun  dan telah mempunyai pengalaman.  Beri kami peluang untuk mencurahkan khidmat bakti kepada anak bangsa. 
SUHANA
Sungai Petani, Kedah
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)

Tiada ulasan:
Catat Ulasan