Isnin, Oktober 11, 2010

Sharene Sofia Merajuk Dan Menemui Ajalnya

“Tak sangka, kami ‘lepaskan’ dia sekejap saja, tetapi dia pergi buat selama-lamanya. Itulah kali pertama dia menaiki bas ekspres sepanjang hayatnya, tapi menjadi yang terakhir,” rintih Rohata Adam, 43, ibu kepada Sharene Sofia Fadzry Tan, 18.

Anak bongsu daripada dua beradik itu antara 10 penumpang bas ekspres Delima yang terbunuh dalam kemalangan ngeri meragut 12 nyawa di Kilometer 222.9 Lebuh Raya Utara-Selatan, lewat petang kelmarin.

Rohata tidak menduga permintaan Sharene Sofia yang beria-ia mahu ke Klang, Selangor, menemui rakannya sehingga merajuk beberapa hari kerana tidak dibenarkan pergi, ibarat petanda ajalnya sudah hampir.

Menurut Rohata, dia dan suaminya, Fadzry Tan Abdullah, 45, keberatan melepaskan anak mereka menemui rakannya yang dikenali ketika dia mengikuti Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) di negeri ini tahun lalu.
Gambar: SEDIH...Fadzry dan Rohanta memujuk Natasha (dipangku), kelmarin.

“Bagaimanapun, Sofia merajuk dan memujuk agar saya membenarkannya pergi bermalam dua hari di rumah rakannya itu.

“Tidak mahu dia merajuk berpanjangan, akhirnya saya membenarkannya pergi,” katanya yang ditemui di rumah ibunya di Kilometer 14, Kampung Umbai, dekat sini, semalam.

Jenazah Allahyarham Sharene Sofia dikebumikan kira-kira jam 11.30 pagi semalam, di tanah perkuburan Islam Umbai, di sini.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.50 petang kelmarin, bas ekspres Delima yang membawa 34 penumpang, terbabas dan memasuki laluan bertentangan lebuh raya dan menghempap beberapa kenderaan menyebabkan 12 terbunuh .

Tiada ulasan:

Catat Ulasan