Ahad, Oktober 03, 2010

PEROKOK TIDAK DIPERTIMBANG UNTUK ANUGERAH KHIDMAT CEMERLANG

ALOR SETAR: Bermula tahun ini, Jabatan Kesihatan Kedah menetapkan hanya warga kerja yang tidak merokok akan dipertimbangkan untuk Anugerah Khidmat Cemerlang.

Pengarah Kesihatan Kedah, Dr Marzukhi Md Isa, berkata langkah itu diambil bagi membasmi tabiat merokok di kalangan warga kerja jabatan itu. "Kita tidak mahu perokok menjadi idola masyarakat. Kita tidak mahu doktor yang sentiasa mengingatkan pesakit tentang bahaya merokok adalah seorang perokok. "Jadi kita mengambil inisiatif ini supaya mereka (kakitangan kesihatan) mengurangkan pengambilan rokok dan sekaligus berhenti merokok," katanya kepada pemberita selepas majlis Sambutan Hari Jantung Sedunia peringkat negeri di Hospital Sultanah Bahiyah di sini hari ini.

Dr Marzukhi berkata, tabiat merokok tidak baik untuk kesihatan dan adalah punca kepada pelbagai penyakit termasuk sakit jantung.

kATANYA, kini terdapat 13,000 kakitangan di Jabatan Kesihatan Kedah dan daripada jumlah itu, 30 peratus adalah perokok.

"Sejak kita perkenalkan syarat baru untuk anugerah ini, saya dapati sudah ada kakitangan kita yang berhenti merokok dan ada juga yang sudah kurang merokok," katanya.

Mengenai penutupan lima pusat rekreasi akibat jangkitan kuman kencing tikus atau leptospirosis, Dr Marzukhi berkata semua pusat rekreasi iaitu Puncak Janing di Kuala Nerang, Lata Bayu (Baling), Bukit Wang (Kubang Pasu), Bukit Perak dan kawasan tasik Pendang Lake Resort (Pendang) masih ditutup dan dipantau.

"Bagi Pendang Lake Resort, kita hanya tutup kasawasan tasik sahaja. Semua aktiviti yang tidak melibatkan kawasan tasik, dibenarkan," katanya.

Beliau berkata, tiada kes baru dilaporkan di kelima-lima pusat rekreasi itu. - BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan